Tuesday 24 April 2012

PANTUN PUSAKA

Ruangan ini mengimbau anda yang berminat berpantun. Mengapa kita berpantun ?
Pertama : Menikmati keindahan pantun.
Kedua : Keseronokan berkongsi idea.
Ketiga : Memantapkan penguasaan berbahasa.
Keempat : Mencanai minda.
Kelima : Menyuburkan budaya.
Keenam : Menyampai maklumat secara berseni.

Penetapan rima yang sama pada hujung baris pertama dengan hujung baris ketiga dan rima yang sama pada hujung baris kedua dengan hujung baris keempat, memberi ruang kepada kita menikmati keindahan pantun itu sendiri iaitu pada pembayang dan maksud. Bukan sahaja indah pada susunannya bahkan indah ketika meningkah bagi menuturkannya. 

Tulis sahaja serangkap pantun orang akan kenal itu adalah pantun dan dengan pantas menuturkannya mengikut gaya pantun itu sendiri. Begitulah pantun. Gaya persembahannya yang unik menjadikan ia melekat di hati. Selain itu ia mudah difahami walaupun didahului oleh dua baris pembayang. Di sanalah juga kita boleh cuba meneka maksud yang disampaikan dan dapat berkongsi idea sebenar.

Keseronokan berkongsi idea juga secara langsung melorongkan kepada pembugaran semangat sekaligus membantu mengurangkan tekanan yang kita hadapi. Kata-kata yang segar dan berimaginasi itulah yang dimaksudkan. Pemilihan kata yang bernas lagi jitu maknanya mengayakan perbendaharaan bahasa kita. Apabila perbendaharaan kata dapat diperkayakan maka barulah penguasaan berbahasa jelas kelihatan.

Satu aspek lagi yang kita tidak nafikan, pantun juga mencanai minda kita. Kita sedaya mungkin mengerahkan kreativiti ketika mengarang maksud dan pembayang. Mengarang pantun bermula dengan pemilihan dua baris maksud iaitu baris ketiga dan keempat. Selepas itu barulah kita sediakan pembayang iaitu baris pertama dan kedua. Aneh dan unik bukan ! 

Selanjutnya, kita berusaha menyampaikan maksud dan pembayang dalam lingkungan 4 hingga 5 patah perkataan yang memiliki 8 hingga 12 sukukata bagi setiap baris. Yang terbaiknya jika kita dapat mengarang 10 sukukata bagi setiap baris. Inilah cabaran menarik ketika mengarang pantun. Ia mendorong kita sentiasa mencanai minda untuk melakukan yang terbaik. Jangan sesekali lupa pula mencanai minda bagi mendapatkan rima hujung bagi setiap baris, bentuknya a-b-a-b. 

Kita juga mencanai minda ketika mengarang pembayang. Walaupun ia dikarang selepas maksud, namun ia dibaca terlebih dahulu. Justeru, pembayang seharusnya membayangkan maksud dengan pemilihan kata-kata menarik yang menggambarkan alam semulajadi. Di sini kita dapati keindahan pantun bermula dengan keindahan pembayangnya. Mengapa begitu ?
Bila memperkatakan tentang pantun, kita juga membicarakan budaya Melayu. Akar pantun adalah budaya Melayu. Orang Melayu menyampaikan maksud hatinya dengan indah, sopan berbicara dan mementingkan budi. Lihatlah pantun di sebelah.....  Penyusunan seperti ini, menunjukkan serta menggambarkan kekuatan tanggapan dan ketajaman pemerhatian masyarakat Melayu sehingga berhasil menimbulkan kesan kehalusan atau keindahan pengucapan.

Pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan hidup seharian dan seni budaya masyarakat Melayu lama, seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara rasmi. Justeru, pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa jenis iaitu Pantun Teka-Teki, Jenaka, Kasih Sayang, Nasihat, Budi, Nasib, Perantau, Adat, Agama, Kepahlawanan, Peribahasa dan Kias Ibarat. 

Sememangnya sejak dahulu lagi orang Melayu telah menyampaikan maksud di hati mereka melalui pantun. Jadi, pantun adalah saluran komunikasi yang berkesan. Penyampaian maklumat secara berseni ini adalah demi menjaga hati orang lain dan menjaga kerukunan hidup bermasyarakat. 
  

Semoga dapat membantu anda dalam menghasilkan pantun yang baik dan seterusnya memelihara kesenian sesuatu pantun yang dikarang. Sekian, selamat berpantun.....       

1 comment:

  1. Mari kita mengasah keupayaan berpantun di samping mengekalkan budaya kita.

    ReplyDelete